Slideshow

Loading...

Followers

welcome

Selamat datang ke dunia kaki pancing..

Monday, March 19, 2012

Tenggiri Bagak Sabak Bernam


Menerima pelawaan memancing daripada salah seorang peminat Jelajah Joran memang sesuatu yang mengujakan. Mana tidaknya biasanya pemancing ni dia mempunyai lubuk pancing yang dirahsiakan daripada orang lain. Apatah lagi bila dihidangkan dengan kisah ikan tenggiri bagak.. lagilah tak senang duduk.. tapi bila disebut lubuk tenggiri tersebut terletak di Sabak Bernam.. hancur luluh hatiku.. hilang semangat pun ada. Perasaan yang ulanya melonjak gumbira bertukar gulana memikirkan 'ada ke tenggiri bagak di Sabak Bernam tu'.. biar betul peminat Jelajah Joran yang sorang ni.

".. abg jangan risau bang.. insyaAllah ada ikan, kami biasa dapat tenggiri kat lubuk tu.. cuma kami diam2 je.. kalau bagitau, habislah.. semua datang belasah.." kata-kata racun Rozi mengumpan selera pancingku. ".. nanti saya buatkan kari ikan tenggiri untuk abang.." tambah rozi yang menambah seksa batinku untuk menerima pelawaannya. Memang masa berbincang Rozi menyebut dia seorang chef... ".. masalah makan settle bang.. semua saya uruskan.." antara kata-kata racun yang menjalar subur dalam tubuhku.

Tanpa banyak fikir, aku membuat keputusan menerima pelawaan Rozi.. mungkin kerana keikhlasan ketika berbincang dengannya, yang pasti bukan bersetuju kerana kisah tenggiri.


Kami membuat keputusan menginap di kelong kupang Wak Anuar dan memancing di sekitar kawasan karang luas 20 minit dari kelong kupang. Setelah semuanya diatur.. aksi pun bermula.

Hari pertama kami fokus kepada acara bottom mencari jenahak, senohong, kurau dan ibu gelama. Sehingga petang hanya anak gelama sebesar 3 jari sahaja yang mencuit umpan.. menung saya tengok hasil tangkapan ketika itu, kegelisahan saya disedari jurukamera Jefri Razak yang kerap menguap menyedut oksigen.. tidur daaa... Apatah lagi episod ini akan dimuatkan dalam salah satu episod Jelajah Joran. Tak pernah dalam sejarah Jelajah Joran kami mangkor atau kumpau.. mungkinkah ini tripnya.. huaaaaaaarrrrggg... aku sambung tidur kehampaan.
Tekong Syafiq yang menyedari keresahanku mula menukar strategi.. jom cari tenggiri.. kita main troling guna gewang.. Pelawaan yang secara tiba-tiba menaikkan semangatku. Aku capai lure box mencari gewang keramat yang sesuai untuk dijamah tenggiri.

Tidak sampai 200 meter menunda.. gewang tekong dilarikan tenggiri.. barulah keadaan menjadi riuh.. aksi pertarungan membuatkan jurukamera bersilat di atas bot mencari sudut terbaik. Seekor tenggiri lebih 5kg berjaya didaratkan tekong muda itu. Aksi tersebut disambung Rozi pula, gewang halco 7 meternya disentap ganas.. wahhh memang best aksinya. Menyedari cuaca makin gelap dan permukaan laut mula beralun kami membuat keputusan untuk pulang ke kelong kupang.


Malam tu, Rozi menunaikan janjinya menyiapkan hidangan kari ikan tenggiri.. alamak lupa amik gambar daaa tapi memang kebaboooooooooommmmm.. ditambah pula dengan ikan sembilang masak tomato pedas perrrggghh... memang betullah Rozi ni seorang chef.. sedap beb...
Hari kedua kami memberi tumpuan kepada spesis tenggiri, setelah kumpau haripertama hari kedua mengubat duka, tertunduk rodku dihenjut tenggiri.. seekor tenggiri berskala 8kg akhirnya berjaya didaratkan.


Aksi bersilih ganti antara kami bertiga, selepas Rozi.. Syafiq pula bergasak, tak menang tangan. Aksi penutup adalah giliran saya bertarung dengan tenggiri terbesar sepanjang trip.. seekor tenggiri 9kg menjadi habuan kami.


Secara keseluruhan kami berjaya mendaratkan 15 ekor tenggiri pelbagai saiz antara 4 hingga 9kg. memang puas hati. Hasil ini membuktikan perairan Sabak Bernam ni memang kaya dengan spesis tenggiri. Sindiran Rozi membuatkan saya tersenyum.." Sabak Bernam.. mana ada tenggiri bang.." sindiran yang akan saya ingat sampai bila-bila.

Kepada kaki pancing perairan Sabak Bernam boleh menjadi satu alternatif kepada warga kota yang menghadapi masalah jarak lokasi pancing. Tak sampai 2 jam dari bandaraya Kuala Lumpur dan tak sampai 2 jam dari jeti.. kawanan tenggiri bagak menanti anda. Cuma, pemancing perlu tahu keadaan pasang-surut air sebelum ke laut. Cara paling selamat rajin-rajinlah berhubung dengan tenkong pancing anda..

Nasir Yusof
Sila layari link www.facebook.com/NasirYusofJelajahJoran dan cari video 'Jelajah Joran 2012 Episod 6'
019-2336290

Tuesday, February 21, 2012

BULUS DE BLUES






Kita teruskan dengan laporan ikan bulus yang bakal disiarkan dalam rancangan Jelajah Joran dalam masa terdekat.

Trip ikan bulus ni sangat istimewa kerana pada trip kali ini saya ditemani anak bujang saya Nawfal, satu-satunya anak yang mewarisi hobi mancing dan saudara Hasmy rakan pancing saya yang sentiasa menemani jika ada masa terluang. Jeffry seperti biasa turut menyertai trip bulus sebagai cameraman.

Paling tidak setahun sekali pasti saya bertandang ke Sungai Besar, Selangor untuk memancing bulus mudah. Setelah perancangan dibuat kami bergerak ke Sg Besar dan bertemu tekong Ah Chai, tekong bulus terkenal di kalangan kaki pancing.


Kebetulan tarikh yang kami rancang memang sangat sesuai untuk memburu bulus.. itulah kata-kata tekong separuh abad itu yang benar-benar membuatkan semangat kami berkobar-kobar.



Memang betul telahan Ah Chai, tidak sampai 30 minit di lubuk pertama kami berpesta bulus. Tak menang tangan kami dibuatnya, masing-masing sibuk dengan aktiviti sendiri.

Justify Full
Umpan udang putih kopek memang efektif, kerap berlaku kejadian sekali 3 ekor bulus melekat di mata kail. Masa dapat memang seronok tapi masa nak tanggalkan mata kail dari mulut bulus agak susah sikit.. mulut bulus kecil, biasanya jika bulus makan umpan dian akan terus telan, lagilah menyusahkan keadaan.. sebab itulah tekong menasihat kami agar menggunakan gunting. Sekali pandang memang nampak brutal tapi dah memang kita nak makan ikan bulus ni pun.


Selain bulus, ikan gelama dan buntal turut berkongsi habitat sama.. tapi gelama pun sedap tu isi dia manis.

Lubuk bulus Ah Chai memang best tapi sewa bot RM650 untuk seharian memancing memang agak membebankan bagi kaki pancing.








Friday, May 13, 2011

TRIP KELAH DAN SEBARAU SUNGAI TAHAN




Umum mengetahui Sungai Tahan antara sungai yang masih terpelihara khazanahnya. Bukan sahaja tumbuh-tumbuhan malah sumber ikan pada sungai derasnya memang masih banyak terutama spesis ikan yang gemar bermain di kawasan jeram.. apalagi kalau bukan kelah dan sebarau yang menjadi kegilaan kaki pancing.


Sungai Tahan terletak di dalam Taman Negara Pahang dan dibawah penguasaan Jabatan PERHILITAN. Hanya terdapat 2 sahaja aktiviti di Sungai Tahan ini iaitu mendaki Gunung Tahan dan Memancing. Untuk kedua-dua aktiviti ini pengujung perlu mendapatkan permit daripada PERHILITAN yang mempunyai pos kawalan di Kuala Tahan.

Setelah permohonan kami untuk mengadakan penggambaran di Sungai Tahan diluluskan, krew Jelajah Joran tidak tunggu lama untuk mengatur trip yang secara peribadi saya klasifikasikan sebagai trip freshwater terbaik Jelajah Joran.


Selain krew Jalajah Joran, trip ini disertai 2 pemancing jemputan Jerry dan CS Wong, 2 orang pegawai renjer PERHILITAN dan 5 orang guide pancing.




Kami memerlukan masa 4 hari untuk sampai ke kaki gunung Tahan, lubuk paling jauh yang mampu kami teroka. Hanya jeram curam bertingkat yang menjadi penghalang kami untuk meneruskan pencarian spesis air tawar terhandal ini.

Untuk sampai ke kaki gunung tahan kami berhenti dan bermalam di 3 kawasan perkhemahan. Malam pertama kami berpusat di Melantai 2 sebelum meneruskan perjalanan di hari kedua dan bermalam di Kem Sungai Susu. Hari ketiga kami bermalam di kem yang kami namakan kem TV3, asalnya kami bercadang untuk berkhemah di Kuala Teku.. namun atas faktor masa dan hari pun dah nak gelap kami buat keputusan untuk berkhemah di satu kawasan lapang dan kami namakan kem TV3.

Hari keempat kami menghulu ke pertemuan sungai Teku dan Sungai Tahan. Kami pilih untuk teruskan ke Sungai Tahan kerana keadaan air lebih jernih dan mendatar berbanding Sungai Teku yang agak keruh mungkin disebabkan hujan di hulu dan struktur sungai yang agak berjeram curam. Kami melawan arus di Sungai Tahan setakat yang kami mampu, kerana sungai semakin cetek bercuram deras.. dan kelah/sebarau juga semakin kecil kami berpatah balik ke kem TV3.


Bila kami memancing? sebenarnya sepanjang perjalanan kami menghulu itulah kami mengilat atau casting sampai lebam pada setiap spot-spot menarik.. setiap spot pastu ada sambaran. 3 lontaran pertama kalau ada yang membaham spoon kami, confirm kelah.. selepas tu barulah giliran sebarau bersilih ganti menghiburkan kami. Saiz bawah sekilo memang banyak.. tapi buruan kami atas 3kg.. baru atau tali keluar.. kata Jerry Cheang guide yang sememangnyamahir dengan sungai pergunungan.


Sepanjang Sungai Tahan saya dapati beberapa lubuk yang menarik terutama di sekitar Kuala Melantai dan Melantai 2, Lubuk Panjang, Sungai Pelinting dan pertemuan antara Sungai Teku dan Sungai Tahan.


Saya lebih gemar mengamalkan teknik casting menggunakan sesudu abu island, hasil memang banyak tak boleh nak kira saiz kelah dan sebarau yang kami daratkan antara 700gram sehingga 4.089kg. Yang main bottom berumpankan sawit, saiz kelah paling besar adalah 2.4kg.
Semua hasil tangkapan dilepaskan semula ke habitat asal. Semua tu saya lepaskan semula untuk anda semua datang dan rasai sendiri pertarungannya.


Saya puji usaha yang dilakukan PERHILITAN untuk memastikan Sungai Tahan tidak diceroboh oleh pihak2 tertentu yang boleh mengugat keharmonian alam sekitarnya.

Pelbagai aktiviti turut diatur oleh PERHILITAN bagi menanam kesedaran orang ramai tentang pentingnya ekosistem alam yang seimbang.


Pandangan peribadi : Sungai Tahan adalah spot kelah dan sebarau yang wajib dikunjungi kaki pancing. Kalau ada peluang dan kesempatan.. saya cadangkan anda rasai sendiri pengalaman memancing di sungai pergunungan.




Wednesday, May 11, 2011

Trip Haruan Lubuk Terlarang


Trip Haruan Lubuk Terlarang

Dah lama sangat tak masuk blog ni.. maaf kat kawan2 yang selalu jenguk blog saya tapi takde perkembangan terbaru.Add Image

Ok.. trip ni sebenarnya tidak dirancang dengan rapi, hanya melalui SMS dengan kengkawan pejabat tup.. tup.. set hujung minggu ni..

Lokasi ntah tapi best lubuk dia hehehe.. tulah yang kawan aku bagitau bila tanya dia nak gerak pukul berapa dan sebagainya.. Dia kata dia pernah pergi lubuk tu.. meletup tali kena belasah dengan haruan.. ayat biasa kalau kita nak bagi orang marah camtulah.. meletup tali beb hehehe..

Awal pagi kami dah menjalar di lebuhraya PLUS menghala ke Slim River. Lepas sarapan terus masuk ke kawasan kampung dan membelok ke satu kawasan berpagar milik persendirian. Patutlah banyak Haruan, kawasan larangan rupanya.. takde yang kacau lubuk ni..

Belum mancing, pandangan dah dihiburkan dengan struktur tasik berteratai dan berlumut yang memang menjadi sebahagian daripada habita haruan.. mula pakai katak je.. dah lama aku tak pegang katak.. haruan punya pasallah ni..

Memang kebaboooommmmm... tak sampai 5 cast dah ada yang nyonyot katakku... apalagi macam kena karen daaaa....





Hasil lebih kurang 10 ekor haruan saiz antara 500gram hingga 1.5kg (bawak balik sebab ada keluarga baru lepas operation) dan 2 ekor toman CnR.. walaupun tak sampai 5 jam casting. tapi hasil memberansangkan, banyak lagi lubuk yang sempat nak masuk..


Pandangan peribadi : lubuk ni memang sesuai sangat untuk Jelajah Joran.. boleh repeat beberapa kali pun takpe.. memang layan..

Tuesday, November 23, 2010

Trip Pelantar Minyak Tekong Pak Itam




Siapa tak kenal Pak Itam tekong tersohor di perairan Besut, Trengganu. Sebut sahaja nama Pak Itam, pemancing mula membayangkan ikan merah, kerapu dan ikan karang lain. Itulah kelebihan Pak Itam, lelaki separuh abad, kecil molek hitam manis yang sentiasa rajin berpindah lubuk bila membawa kaki pancing ke laut.


Kerana kehebatan itulah krew jelajah joran mengambil keputusan memaparkan kisah pelantar minyak bersama Pak Itam. Secara peribadi saya sudah biasa memancing dengan Pak Itam sebelum ini, dari tahun 1999 lagi saya sudah mengenali beliau. Dari reel manual shimano tiagra hinggalah membeli 'bangla' semuanya gara-gara saranan Pak Itam yang mahu menjimatkan masa ketika memancing.
Pak Itam memang kaya dengan lubuk ikan karang bersaiz XL, boleh dikatakan hampir setiap kali ke laut saya tak pernah pulang hampa semuanya 'berisi' kecuali satu trip sekitar bulan 5 2008 kami terpaksa pulang awal gara-gara kemudi bot patah. Pernah di satu lubuk, kami mendaratkan 9 ekor ikan kerapu pisang bersaiz 2 hingga 7kg, kerana teruja dengan hasil yang ada, nama lubuk tersebut ditukar kepada Lubuk 'Nasir TV3'.
Trip Julai 2010 lalu kami sekali lagi membelah lautan dengan misi memuatkan aksi dalam rancangan jelajah joran. Alhamdullah walaupun hasil kurang memberansangkan, kami tetap bangga dengan saiz ikan merah dan kerapu bersaiz bagak.

Kepada yang ingin mencuba bertarung dengan merah dan kerapu bersaiz XL, anda boleh menghubungi terus Pak Itam 019-9403715.













Tuesday, November 16, 2010

Episod 9 Pulau Sembilan, Perak





Ramai kengkawan anglers ajak Jelajah Joran mancing kat Pulau Sembilan, Perak untuk disiarkan kat dalam program tu. First Impression aku tak rasa lubuk ni menjanjikan hasil yang menarik sebab dah biasa casting kat rangkaian pulau-pulau ni, banyak kali mangkor jarang sangat berjaya.


Namun bila difikirkan.. itulah realiti pemancing tak semua trip pemancing akan berjaya.. adakalanya pemancing turut mangkor.. Jadi aku buat keputusan.. ok, jadikan lokasi ni sebagai lokasi trip mangkor.



Setelah semuanya disusun atur kami pun memulakan penggambaran Jelajah Joran pada awal Mei lalu. Di kepala memang dah set episod ni episod mangkor hehehe... Nak dijadikan cerita, perkara sebaliknya berlaku.. kami berpesta baby GT... kebaboooommm apalagi skrip kena tukar, mood pun kena kasi tukar beb..





Sebenarnya selama ni kita hanya bergantung kepada satu kaedah sahaja, apabila kita mempelbagaikan kaedah baru kita tahu tempat yang kita boring nak pergi tu lah.. yang kebabbooooommm..




Kami bermalam di Pulau Lalang, satu daripada sembilan pulau yang ada kat sini. ada sumber air dan ada wakaf yang boleh menampung 5 orang angler pada satu satu masa. Kalau lebih dari 5 orang.. korang kena berdoa supaya hujan tak turun malam tu..


Aku nak sarankan juga kepada pihak berkuasa tempatan supaya perbaiki wakaf yang ada kat Pulau Lalang tu.. betulkan bumbung dan besarkan sikit wakaf tu. Sebab ramai kengkawan dari luar negara yang tanya nak mancing kat mana yang best.. kalaulah Pulau Lalang tu cukup kemudahannya aku akan bawak kengkawan aku tu.



Personal Opinion : saya cadangkan kaki casting repeat kat Pulau Sembilan.





Trip Layaran 2010





Dah lebih 5 tahun aku tak memancing ikan layaran di perairan Rompin. Kali pertama sekitar tahun 2003 lebih kerap sekitar tahun 2005. Trip kali ini adalah yang pertama selepas tahun 2005 hari tu. Trip 2003 aku hanya landing 3 ekor je.. selepas banyak kejadian rabut, semuanya CnR.



Tahun 2005, aku menyertai kawan2 yang agak pro, dorang ni bukan je mengamalkan CnR malah dorang buat tagging, ambil semua maklumat pasal ikan.. berat dia, panjang, ukur lilit dan sedikit spesimen diambil untuk tujuan DNA. Maklumat pemancing, lokasi, umpan dan peralatan pancing turut diambil dan semua maklumat ini dihantar ke US untuk diproses IGFA. Selang beberapa minggu lepas tu aku dapat satu sijil dari IGFA, dorang ucap tahniah sebab amalkan CnR dan menyumbang dalam proses mengkaji spesis ikan layaran. Malangnya tah mana2 aku letak sijil penghargaan tu, aku pun tak tahu.


Trip Mei lalu sebenarnya sempena Royal Pahang Billfish International Challengge 2010. Pergi atas tiket media ni, maknanya kena buat kerja. Visual ni akan digunakan sebagai arkib Jelajah Joran untuk di siarkan pada musim yang akan datang memandangkan musim pertama Jelajah Joran telahpun melabuhkan tirai bulan puasa hari tu.








Trip Casting Sebarau

Trip Casting Sebarau
Sebarau bujang je, tapi layan gila he he.. Inilah kali pertama aku casting sebarau di Tasik Kenyir, sebelum tu main bottom je..

Trip Casting Toman

Trip Casting Toman
toman bujang yang ganas.. teringat masa mula2 memancing di Tasik Banding ni, masa tu guna anak ikan keli je, campak kat kumpulan anak-anak toman yang main di atas air.. lepas tu tunggulah mak bapak dia baham gewang.. tapi teknik casting lebih mencabar sebab masa toman rembat gewang kita, kita sedang pegang set.. kalau bottom, kengkadang kita tinggal je set kita kat tepi bot sambil borak dengan kengkawan, toman rembat pun tak sedar so feel dia kureng sikit..

Trip Jigging GT

Trip Jigging GT
tak ingat berapa berat dia.. orang kata kalau trip tu menjadi, nak timbang ikan pun tak sempat he he.. Tapi memang betul trip ni aku landing banyak GT dan talang.. saiz mencecah belasan kilo.. Jigging satu teknik yang menarik jika anda tau lubuk, pasti trip jigging anda akan menjadi sejarah peribadi yang tak mungkin anda lupakan.