Kita teruskan dengan laporan ikan bulus yang bakal disiarkan dalam rancangan Jelajah Joran dalam masa terdekat.
Paling tidak setahun sekali pasti saya bertandang ke Sungai Besar, Selangor untuk memancing bulus mudah. Setelah perancangan dibuat kami bergerak ke Sg Besar dan bertemu tekong Ah Chai, tekong bulus terkenal di kalangan kaki pancing.
Kebetulan tarikh yang kami rancang memang sangat sesuai untuk memburu bulus.. itulah kata-kata tekong separuh abad itu yang benar-benar membuatkan semangat kami berkobar-kobar.
Memang betul telahan Ah Chai, tidak sampai 30 minit di lubuk pertama kami berpesta bulus. Tak menang tangan kami dibuatnya, masing-masing sibuk dengan aktiviti sendiri.

Umpan udang putih kopek memang efektif, kerap berlaku kejadian sekali 3 ekor bulus melekat di mata kail. Masa dapat memang seronok tapi masa nak tanggalkan mata kail dari mulut bulus agak susah sikit.. mulut bulus kecil, biasanya jika bulus makan umpan dian akan terus telan, lagilah menyusahkan keadaan.. sebab itulah tekong menasihat kami agar menggunakan gunting. Sekali pandang memang nampak brutal tapi dah memang kita nak makan ikan bulus ni pun.
Selain bulus, ikan gelama dan buntal turut berkongsi habitat sama.. tapi gelama pun sedap tu isi dia manis.
Lubuk bulus Ah Chai memang best tapi sewa bot RM650 untuk seharian memancing memang agak membebankan bagi kaki pancing.